IA mungkin gua yang paling menyeramkan di dunia tetapi Gua Gomantong yang terletak di Sandakan, Sabah, terus dikunjungi ribuan pelancong setiap tahun untuk menyaksikan aktiviti memungut sarang burung selain mengintai penghuninya iaitu berjuta-juta ekor kelawar dan lipas.
Namun, kebanyakan pelancong hanya dapat melihat keunikan gua itu di sekitar pintu masuk dan bukan menjelajah setiap inci gua itu seperti yang dilakukan penerbit televisyen Perbadanan Penyiaran British (BBC), James Brickell. Brickell menyertai ekspedisi itu pada tahun 2009 bagi menyiapkan dokumentari selama 60 minit.
Menurut Brickell, beliau berjaya sampai ke dasar gua itu selepas melakukan aksi abseiling dari ketinggian 90 meter.
Lantai gua batu kapur itu pula ialah tempat yang paling tidak selesa di dunia, kata Brickell.
"Pertama, hidung saya ditusuk bau kencing dan najis haiwan. Bau itu datang daripada timbunan bertan-tan tahi kelawar di lantai gua. Jika anda berdiri di tengah-tengah gua, tahi kelawar pasti mengenai baju, topi malah anda dapat merasainya dengan mulut," katanya.
Keadaan itu bukan sahaja tidak menyenangkan bahkan berbahaya kerana paru-paru boleh dijangkiti fungus. Kalau tidak dirawat segera, ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi termasuk batuk berdarah.
Untuk mengelakkan masalah itu, semua kru BBC yang terlibat memakai sut putih penuh menutupi tubuh. "Mengenakan pakaian seperti itu untuk tempoh yang lama ibarat berada di dalam sauna.
Di sesetengah tempat, timbunan tahi kelawar hanya setebal beberapa meter tetapi di tempat lain ia menggunung tinggi. "Pada setiap saat ada saja kelawar yang membuang najis," ujar beliau.
Mencari makan di dalam timbunan tahi itu ialah lipas-lipas gergasi yang tidak terkira jumlahnya.
"Kelawar yang terjatuh akan dimakan hidup-hidup oleh lipas ini. Amat sukar berjalan di sini tanpa terpijak lipas. Ia juga sering memanjat tubuh dan jika tidak berhati-hati ia mampu menyelinap ke dalam pakaian," kata Brickell.
BBC menyiarkan dokumentari bertajuk Cockroach Heaven: Guomantong Caves tahun lalu dalam program Deadly 60 saluran itu.
Kebanyakan pelawat berkata Gomantong lebih tepat dipanggil Gua Sarang Burung atau Gua Lipas.
Gua itu diiktiraf sebagai Pengurusan Gua Sarang Burung Terbaik Di Dunia oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF). Sejak abad ke-13, gua ini telah membekalkan sarang burung terbaik untuk maharaja China.
Gomantong memiliki dua kompleks gua, dinamakan Simud Hitam dan Simud Putih. Simud Hitam lebih senang dijelajahi. Laluan berpapan yang terpelihara memudahkan penjelajahan ke dalam gua yang istimewa ekologinya ini.
Simud Putih pula merupakan tempat memperoleh lebih banyak air liur sarang burung putih yang lebih berharga. Memungut sarang burung di Gomantong diselia oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Penuaian hanya dibenarkan kepada pencari sarang burung berlesen sebanyak dua kali setahun iaitu antara Februari dan April dan antara Julai dan September. Pengujung boleh menyaksikan pemanjat memanjat sehingga ke bumbung gua menggunakan hanya tangga rotan, tali dan galah yang diikat sekali.
Read more...