Taman Negara Mulu
Jika bandar raya Kuching gah dengan saki baki bangunan lama peninggalan silam era pemerintahan James Brook, Taman Negara Mulu (TNM) pula menyimpan khazanah keajaiban alam yang tidak terjangkau dek fikiran manusia.
Berkeluasan 52,865 hektar, TNM terkenal dengan gua prasejarah yang menawarkan pengunjung satu pakej kembara dan pengalaman menarik yang pasti tidak mudah dilupakan. Sebelas tahun lalu, TNM mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Penulis berpeluang mendekati keajaiban alam itu bersama peserta program Sarawak Update & Travel Mart 2010, baru-baru ini. Program yang dianjurkan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) Sarawak bersama Tourism Malaysia Sarawak ini bertujuan menyemarakkan lagi pencapaian sektor ekonomi industri pelancongan di Bumi Kenyalang.
Sepanjang di sana, kami diiringi Timbalan Pengarah Pelancongan Sarawak, Rizal Mas dan empat pegawainya, David Ateng Dominick, Siti Zakiah Minggu, Nazasheera Shafiee dan Beatrice Nuing meneroka gedung arkeologi di TNM, antaranya Gua Rusa, Gua Lang, Gua Air Jernih dan Gua Angin.
Paling menonjol, Gua Rusa yang sejak sekian lama menjadi antara koleksi tumpuan eksplorasi terhebat yang mampu memukau setiap pengunjung. Sepanjang laluan hampir 30 minit menghala ke pintu masuk Gua Rusa, kemudahan pelantar kayu disediakan bagi menjamin keselesaan pejalan kaki, menjadikan perjalanan tidak terasa penatnya.
Ikuti keistimewaan Gua Rusa serta tiga lagi rangkaian gua paling menarik di TNM.Gua Rusa
Sebagai mukadimah, perjalanan ke Gua Rusa disajikan dengan suara gemersik unggas kecil dan burung penghuni setia hutan simpan kekal ini. Bagi penggemar kembara alam flora dan fauna, masa yang ada dirasakan terlalu singkat untuk menghayati kehijauan rimba. Percaya atau tidak jika dikatakan setiap langkah menyusuri laluan hutan ini, pasti ada saja objek yang mahu dirakamkan untuk koleksi fotografi.
Gua batu kapur ini dianggarkan seluas 174 meter lebar dengan ketinggian mencecah 122 meter dan berada dalam kelompok carta gua terbesar di dunia. Lebih menakjubkan apabila dikatakan gua ini mampu memuatkan lebih daripada lima bangunan besar!
Jurupandu pelancong, Richard Burong, berkata suatu masa dulu, Gua Rusa dikatakan sentiasa dipenuhi kawanan rusa yang berkumpul untuk mendapatkan air garam mineral. Secara berjenaka, beliau berkata, pemburu boleh memilih apa saja saiz rusa yang dikehendaki, pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.
“Sebab itu, pemburu dan penduduk setempat menamakan lokasi ini sempena hidupan liar berkenaan,” katanya.
Itulah kisah yang disampaikan turun-temurun mengenai asal usul Gua Rusa, namun paling menarik bukannya cerita mengenai rusa itu, sebaliknya keindahan persekitaran gua ini yang begitu mengasyikkan.
Imej popular, Abe Lincoln Sebaik memulakan perjalanan masuk ke dalam, lampu suluh dihidupkan tertumpu ke arah dinding batu. Tatkala menjengah masuk, kelihatan pembentukan batu kapur seakan ukiran indah yang tiada penghujungnya. Gua Rusa menampilkan sudut geologi mempesonakan, termasuk pembentukan tiga lapisan batu kapur.
Pada sebelah petang, satu lagi tarikan istimewa menanti pengunjung ketika berkumpul semula di depan pintu masuk. Jangan terkejut dengan bunyi bingit putaran ‘taufan hitam’ yang sebenarnya adalah kawanan kelawar spesies ‘Chaerephon plicata’ yang terbang keluar masuk berulang kali.
Acara ‘persembahan’ oleh kumpulan kelawar ini dianggap kemuncak kembara buat pelancong yang menjejakkan kaki di sini. Bayangkan keadaannya apabila lebih tiga juta kelawar terbang berulang alik hampir satu jam untuk mencari makanan di atas kepala anda.
Untuk menyaksikan pemandangan menakjubkan ini, pengunjung dinasihatkan berada di luar gua sekitar jam 6 hingga 7 malam. Suasana menakjubkan ini nyata memberi dimensi baru dalam penaklukan kembara anda sepanjang kunjungan di Bumi Kenyalang.
Gua Lang
Jika masih mempunyai stamina dan inginkan cabaran seterusnya, paling hampir dengan Gua Rusa adalah Gua Lang yang menjanjikan kelainan dari sudut perspektif gua batu kapur. Walaupun lebih kecil berbanding Gua Rusa, Gua Lang menyajikan kehebatan pembentukan stalaktit dan stalagmit yang luar biasa.
Setiap titisan air yang mengalir di celah dinding gua mengandungi molekul halus debu batu kapur yang mengambil masa ratusan tahun untuk bercantum.
Gua Angin
Masuk hari kedua, kembara kami diteruskan dengan menaiki bot merentas Sungai Melinau. Sepanjang 15 minit di atas bot, pengunjung dapat merasakan kesegaran udara di samping menghayati kehijauan ekosistem hutan simpan yang pantas menyuntik ketenangan.
Sebaik berdiri di depan pintu Gua Angin, pengunjung dapat merasa hembusan angin segar dari celah ruang sempit dinding gua. Rasa ingin tahu mendorong penulis menjelajah isi perut gua batu kapur ini, perlahan-lahan menuruni anak tangga sambil mengamati keindahan yang ada.
Gua Air Jernih
Gua ini mempunyai terowong sejauh 75 kilometer, iaitu yang terpanjang di Asia Tenggara. Laman sistem gua bawah tanah ini meliputi hutan hujan tropika yang luas. Paling menarik, sebuah jambatan dibina buat pengunjung menyaksikan aliran air sejuk mengalir keluar ke Sungai Melinau.
Kembara di Gua Air Jernih tidak lengkap rasanya jika tidak membasahkan diri. Sambil berenang dapat juga menyaksikan kehijauan alam serta merasai kedinginan air Sungai Melinau.
Sumber artikel : http//www.bharian.com.my
0 comments:
Post a Comment